Sunday, August 30, 2009
Aktiviti Ramadhan
Menghayati Ramadhan pada tahun ini, Dewan Pemuda PAS Terengganu (DPPNT) telah melancarkan Bulan Tarbiyyah di awal Syaaban yang lalu. Matlamatnya agar seluruh pemuda PAS Terengganu menjadikan Ramadhan benar-benar bulan yang mentarbiyyah kehidupan kearah menjadi hamba Allah yang bertaqwa.Banyak aktiviti yang yang di rancang bagi mengisi bulan penuh barakah ini seawal Syaaban lagi. Alhamdulillah Pemuda PAS Setiu juga tidak ketinggalan menyahut seruan DPPNT melalui Lujnah Tarbiyyahnya yang di pimpin oleh Al Fadhil Dr Azman Ibrahim, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Setiu.
Pelancaran bulan Tarbiyyah peringkat kawasan telah di adakan pada 14 Ogos / 23 Syaaban di Surau Hj Mad, Bukit Cempaka oleh Dr Azman.
Semua Pemuda DUN mengadakan mesyuarat dan membincangkan khusus agenda menghidupkan Ramadhan pada tahun ini sebaik-baiknya. Antara program yang akan dan sedang berjalan adalah Iftor Jama'e dan Qiamullail melibatkan AJK Pemuda DUN dan Ahli Pemuda cawangan. Di samping itu ada juga DUN yang melaksanakan Jaulah Terawih dan Tazkirah Ramadhan antara cawangan-cawangan dalam DUN tersebut. Perkembangan ini agak memberansangkan kearah memenuhi hasrat Ketua DPPNT sessi ini, YB Ust Mohd Noor Hamzah yang mahukan agenda tarbiyyah di beri penekanan sebaiknya oleh Pemuda.
Sememangnya Ramadhan perlu di ambil kesempatan sepenuhnya oleh semua ummat Islam bagi mengislahkan diri dan meningkatkan ketaqwaan supaya hadiah Allah sebulan dalam setahun ini benar-benar menjadikan kita insan soleh yang di terima oleh Allah.
Antara yang mengembirakan saya adalah perkembangan Pemuda DUN Langkap. Walaupun peringkat awal sessi baru ni kelihatan agak sukar dan menjadi DUN yang paling akhir membentuk Jawatankuasanya, tetapi sekarang nampaknya sudah mampu menganjurkan program dan Alhamdulillah ada sambutan yang baik daripada cawangan-cawangan.
Sementara DUN Jabi yang sememangnya DUN yang dominan sejak awal penubuhan PAS Kawasan Setiu ini, terus dengan aktiviti rutin apabila tiba Ramadhan dengan program Qiamullail dan jaulah pimpinan ke cawangan-cawangan, berterawih dan tazkirah oleh pimpinan DUN mereka. DUN Jabi memiliki ramai Ustaz dan Tuk Guru yang mampu memenuhi tuntutan tarbiyyah di bulan yang berkat ini. Apatah lagi Dr Azman sendiri adalah bekas calon PAS dalam PRU ke 12 yang lalu bagi DUN Jabi.
Lantaran itu apabila terdengar sungutan tidak puas hati ( kecil hati? ) daripada Pemuda DUN Jabi dengan tulisan saya pada posting ( antara yang awal saya tulis di blog ini ketika baru di buka pada akhir bulan Jun ) berkenaan Kursus Pengurusan Organisasi ( KPO ) DPPKS yang di adakan di Merang, saya terus melihat balik apa yang saya tulis tersebut.
Hasrat saya apabila membuka blog ini sebagaimana telah di nyatakan di posting pertama dahulu adalah untuk merakamkan peristiwa dan program sepanjang saya di amanahkan sebagai ketua DPPKS bagi sessi ini di samping ulasan tentang isu semasa samada tempatan mahupun nasional ataupun isu antarabangsa yang mempunyai kaitan dengan kita semua.
Mungkin dengan keghairahan menulis ketika baru membuka blog ini, untuk menyedapkan gaya bahasa ( tak sedap pun... maklumlah baru belajar menulis ) saya mulakan tulisan berhubung KPO yang di adakan di Merang itu dengan menyebut ketidakhadiran pemuda DUN Jabi dalam program tersebut. Tidak ada sedikitpun niat untuk memburukkan mereka ( walaupun ada pandangan sahabat yang mengatakan tulisan tersebut berunsur 'memperlekehkan' ) yang tidak hadir. Apatah lagi sebelum itu mereka telah maklumkan masalah yang di hadapi. Cuma kesilapan saya apabila menyatakan rasa terkilan tersebut melalui blog yang mungkin di rasakan mediumnya tidak sesuai.
Hasrat saya tidak lain adalah untuk memaklumkan program tersebut dan jika boleh di ambil perjanan pula oleh DUN-DUN menganjurkan pula di peringkat masing-masing kerana soal pengurusan organisasi adalah sangat penting jika mahu melihat kekuatan jemaah kita.
Walau bagaimanapun saya percaya DUN Jabi mempunyai kekuatan mereka tersendiri berbanding DUN-DUN lain. Sejak DUN Jabi di wujudkan pada 1984, mereka telah dua kali memenangi pilihanraya secara berselang penggal iaitu PRU 8 1990, YB Ust Zahari Mohamad dan PRU 10 1999 melalui YB Ust Shaharizukirnain. Sementara PRU 12 yang lalu mereka hanya kalah tipis melalui calonnya Dr Azman dengan majoriti 800 undi sahaja.
Oleh itu memang munasabah jika mereka terasa hati apabila saya menulis tanpa mengambil kira saluran sepatut dan munasabah. Walaupun sebagai ketua ada hak untuk menegur, tetapi teguran mestilah kena dengan tempat dan masa. Dari segi teori begitulah, tetapi apabila bertindak kadangkala tersasul dan tersilap. Begitu juga orang bawah boleh menegur jika kesilapan berlaku. Pun begitu kadangkala teguran yang di buat tidak melalui saluran yang sepatutnya juga.
Jika kita mempunyai sikap mengakui kelemahan diri dan bersedia di tegur, saya percaya perkara tersebut tidak akan di perpanjangkan lagi. Bagi saya, apa yang saya nyatakan pada ucapan saya dalam mesyuarat AJK DPPKS kali pertama sessi ini dengan menyebut ucapan Saidina Abu Bakar "Jika saya betul, tolonglah saya dan jika saya salah tolong perbetul saya", itulah yang cuba saya praktikkan.
Maka mulai esok, jika ada kelapangan, posting berkaitan KPO itu saya akan edit semula ( hari ni tak sempat, maaf ) dan dengan hasrat serta harapan yang tinggi untuk melihat kesepaduan bagi berhadapan cabaran yang lebih sengit di masa mendatang, saya memohon maaf kepada sahabat-sahabat pemuda DUN Jabi berhubung apa sahaja yang tersilap.
Begitulah juga dengan sahabat Pemuda DUN-DUN yang lain, bersempena Ramadhan ini, marilah kita jayakan mujahadah membaiki diri ini dengan menambahkan kefahaman kita tentang agama ( dengan belajar dan bertanya ) sebagaimana maksud sabda Rasulullah saw " Barangsiapa yang mahu di jadikan kebaikan kepada seseorang, nescaya akan di beri kepada orang tersebut kefahaman yang betul berkenaan agama".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan